31 January 2008

Genap Setahun Sendiri Tanpa Dia


Syukur, Segala puji bagi Allah s.w.t kerana memberi kesempatan kepada diri ini untuk menitip coretan di Laman maya Cerita Deritaku, Rindu ini. Hampir dua bulan Rin biarkan laman Cerita Rindu ini sepi tanpa sebarang coretan hati. Rasa seperti cepat sungguh masa berlalu pergi.

Walaupun hanya dua bulan, namun terlalu banyak perkara-perkara penting yang berlaku yang sepatutnya Rin catitkan di sini. Antaranya, selepas kisah hari lahir yang disambut sendirian tanpa Arwah Abang disisi, sekali lagi Rin menyambutnya sendiri lagi sewaktu sambutan tahun baru 2008, dimana sebelum ini Rin menyambutnya dengan abang. Masih segar dalam ingatan, Abang bawa Rin menyaksikan pesta bunga api di Singapura. Setiap detik itu pastinya akan kekal dalam ingatan Rin buat selama-lamanya. Selain itu, Hari Raya Aidiladha juga membuatkan Rin terimbau kenangan setahun yang lalu.

Sedar tak sedar, beberapa hari lagi tiba pula hari dimana genap setahun hidup Rin yang berbunga-bunga dan penuh dengan warna-warni indah, bertukar gelap, sepi, kaku tak bererti. Hari itu adalah Hari pertama rin kehilangan Insan tersayang. Dan pasti yang terpenting, hari terakhir rin mendengar suara abang. Perbualan terakhir rin bersama abang amat menyentuh hati dan sanubari. Rin dan abang saling bermaafan. Saling pesan berpesan agar sentiasa menjaga diri. Abang kedengaran teramat letih didetik-detik akhir nafas abang. Namun, demi cinta abang pada rin, abang rela mengisi sedikit sisa baki hidup dan masa abang untuk berbicara dengan rin, mendengar suara rin dan meluahkan rasa hati abang pada rin.

Terima kasih pada Mu Ya Allah, kerana memberi peluang untuk kami bertemu di nafas hidup yang tak panjang ini. Aku bersyukur pada Mu Ya Illahi, kerana Anugerah yang Kau pinjamkan buat ku walau ia hanya untuk sementara.

Semenjak rin kehilangan abang, rin sering diuji Allah dengan pelbagai jenis penyakit. Terasa badan ini lemah dan tidak bermaya. Bukan rin sengaja menjadikan tubuh ini layu, lemah tak bermaya. Namun, hakikatnya.. hati tak seceria dulu lagi. Hati sering manangis. Hati sering mengingatkan Abang yang semakin jauh. Puas dipujuk hati ini agar tidak toleh kebelakang lagi. Namun, masih tak berdaya. Hati tetap milik Abang. Hati tetap pada Abang....


Disaat ini, aku panjatkan Syukur pada Mu Ya Allah. Kerana memberi hambamu ini peluang untuk memperbaiki diri yang serba kekurangan. Ampunilah segala Dosa-dosa Arwah Tunangku Ya Allah. Terimalah dia sebagai hamba Mu yang beriman dan bertaqwa disisi Mu. Semoga Allah mencucuri Rahmat keatas Rohnya. Insya Allah. Amin. Al- Fatihah.

Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.