12 December 2007

Genap 25 Tahun bernafas

Setiap kali Ulang tahun Kelahiran pasti tiada siapa yang tidak ingin diraikan dan diingati. Semua orang yang mempunyai perasaan pastinya inginkan sesuatu yang Istimewa dalam hidupnya lebih-lebih lagi dihari yang paling bererti seperti Hari Lahir. Ape tidaknya, setahun sekali kita menanti hari Istimewa itu. Namun, alangkah sedihnya bila semua itu tidak terjadi. Dihari Ulang Lahir kita, tiada siapa yang menjadikannya Istimewa... hanya Allah yang mengerti.
Bagi rin, hidup memang tak selalunya indah. Kadang kala kita pasti merasakan sunyi dan sepi walaupun dikelilingi ramai orang yang masih disisi. Lebih malang lagi saat sunyi dan sepi itu menyelubungi diri kita pada hari Istimewa, Hari Lahir. Tidak dinafikan, ia terjadi pada diri ini. Sedih tidak terhingga mengenangkan dia yang tersayang.. yang telah pergi. Walaupun baru dua tahun rin berkesempatan meraikannya bersama dia, Kehilangan tetap terasa amat perit. Orang selama ini menjanjikan kebahagian untuk kita, tidak ada lagi. Kebahagian itu musnah. Hilang sekelip mata. Dan disetiap hari Istimewa, tiada lagi kejutan darinya dan tiada lagi ucap selamat darinya. Hanya yang tinggal kenangan yang sentiasa dalam Ingatan. 'Ya Allah, Tabahkan diri ini'.
Walaubagaimanapun, Hari Ulang Tahun rin kali ini ada makna yang tersendiri. Apa tidaknya, walaupun tiada siapa yang memberi peluk cium tanda selamat dan syukur diatas umur yang dianugerahkan oleh Allah ini, rin tetap berjaya.. berjaya menggembirakan diri sendiri. Menghiburkan hati hanya dengan mengingati Allah dan berdoa kepadanya. Bersyukur dan Redha diatas semua yang telah Dikurniakan OlehNya. Sehingga saat ini rin diberi nafas. Itu cukup menandakan Dia sayang akan kita. AnugerahNya itulah yang tidak terhingga nilainya. 'Syukur pada Mu Ya Allah.'
Tidak apa, tidak ada yang sayang. Tidak apa, tidak ada yang menghargai.
Tidak apa, tidak ada yang mempeduli. Tidak apa, tidak ada yang mengingati.
Kerana tiada yang kekal diBumi Allah ini.
Segalanya datang dari Allah dan berakhir jua kepada-Nya.
Anggap ia satu dugaan dari-Nya.
Kejarkanlah akhirat. Pupuklah diri dengan Iman dan Taqwa.
Kerana hanya Amal yang mendampingi diri ini disatu perjalanan jauh menuju Hari perhitungan,
Hari yang menentukan segalanya.
Nantikanlah Keberkatan, Keredhaan dan Rahmat hanya dari-Nya.
Hidup di dunia hanya untuk sebentar kerana, Dunia hanya sementara.
Selamat Hari Ulang Tahun yang ke 25 tahun.
Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.

03 December 2007

Gusar

Hari demi hari sepanjang cuti kali ni, rutin seharian rin semakin tawar dengan rencah kehidupan yang adakalanya terasa pahit. Bukan mengeluh atau mempertikaikan segala Ketentuan-Nya. Tetapi menyesali diri sendiri kerana masih lagi tidak mencapai ketenangan diri. Masih mencari-cari. Sedangkan diri sendiri ini tidak pasti akan apa yang dicari. Hanya yang pasti. Diri ini mencari dan menanti Jawapan. Jawapan dari Allah. Tuhan Maha Esa. Aku bermohon hanya kepada Mu. Segala Puji Bagi Mu Ya Allah......

'Ya Tuhanku, aku ingin sentiasa Mencari-Mu Ya Allah. Aku menanti Petunjuk dari Mu. Aku menunggu Cahaya Sinar Illahi Mu. Aku berpegang erat dengan Janji Mu. Janji Mu Yang Maha Adil lagi Maha Agung.. Anugerah Mu. Keberkatan dan Keredhaan Mu Yang Maha Besar dan luas tanpa sempadan malah tidak bertepi... Engkau Maha Mengetahui. Engkau Maha Melihat. dan Engkau Maha Mendengar. Hamba Mu ini bukan mengeluh kesah tetapi Merayu dan Merintih pada Mu Ya Illahi.

Aku Mohon Petunjuk Mu. Jalan yang mana harus aku pilih Ya Allah. Harus bagaimana aku menjalani hidup ini. Harus bagaimana. Aku berserah..

Hidup dan matiku hanya Untuk Mu. Hanya kerana Mu. '

Mentari yang sering pergi dan kemudian kembali lagi..



Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.
Jalan yang penuh Keredhaan Mu.

29 November 2007

Genap Setahun Bertunang

Sedihnya, tiada siapa yang mengingatinya. Hanya rin sendiri mengingati hari Istimewa ini. Mungkin bagi mereka, untuk apa perlu diingati. Untuk apa untuk disebut-sebut lagi.. Ikatan pertunangan yang dengan rasminya putus setelah Sidia pergi dijemput Illahi.. Tiada apa yang perlu dikenang lagi. Namun, hanya Allah yang tahu perasaan rin saat dan ketika ini. Perjalanan jadi sunyi. Kehidupan jadi tanpa tuju. Jika mengikutkan hati, Ibaratnya..
Mata jadi buta, kerana tidak lagi dapat melihat wajahnya.
Telinga jadi tuli, kerana tidak dapat mendengarkan suaranya.
Bicara jadi bisu tanpa suara. Hati jadi beku. Perasaan jadi bercelaru...

Namun, rin tidak akan hanyut sebegitu. Kewarasan masih dalam gemgaman. Tekad untuk meneruskan hidup masih tersemat kemas didada. Rin percaya, Abang masih disisi.. kerana itu janjinya. Menemani rin tanpa sepi.. Rin sayang Abang..

Sebelum Cahaya
kuteringat hati yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi yang kau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta
ingatkan kau kepada embun pagi bersahaja
yg menemanimu sebelum cahaya
ingatkan kau kepada angin yg berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
kekuatan hati dan berpegang janji
genggamlah tanganku cinta
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri
temani hatimu cinta..

Bait-bait lagu ini sungguh membuatkan rin yakin akan kesetiaan kita. Rin akan mencintai Abang sehingga akhir nafas rin. Setiap malam pastinya doa rin tak akan lekang dari bibir. Semoga kita bertemu disana.

"Segala Puji Bagi Mu, Ya Allah. Ampunilah segala dosa-dosa Allahyarham Tunangku. Allahyarham Abdul Razak Abdul Hamid. Semoga Engkau Mencucuri Rahmat Keatas Rohnya. Tempatkanlah dia bersama orang-orang beriman dan bertaqwa disisi Mu, diSyurga Mu. Terima dan Halalkanlah segala amalan-amalan yang dilakukannya sepanjang hayatnya dibumi Mu ini. Kasihi dan kasihanilah dia serta lindungi dia dari azab seksa Mu. Hanya kepada Mu aku bermohon Ya Allah. Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Semoga Engkau memberi ketenangan kepada Rohnya di alam Barzakh. Dan sampaikanlah salam rinduku buat nya.. Amin "


Selamat Ulang Tahun Pertunangan... RinduRazak


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.
Temukan kami diSyurga Mu.

18 November 2007

Rela Menyendiri

Sentosa Island. Satu masa yang lalu, Satu destinasi istimewa yang paling rin nantikan untuk dibawa Arwah abang berlibur. Tetapi, Janji nya hanya tinggal janji, ini kerana Arwah Abang pergi dulu beberapa hari sebelum hari yang dijanjikan. Masih segar dalam ingatan rin. Arwah Abang beria-ia untuk bawa rin dan keluarga untuk ke Sentosa. Sepanjang minggu kami sibuk merancang untuk aktiviti hari liburan itu. Arwah Abang bersungguh untuk bawa basikalnya. Arwah Abang Razak sempat belikan Syirah permainan pantai dan bermacam-macam lagi yang dijanjikan. Namun, Allah lebih berkuasa. Dia lah yang menentukan segalanya. Menjemput hamba-Nya hanya dengan sekelip mata. Allah Maha Besar. Bila diingat semula terasa benar KeAgungan Allah. Menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara.. Subhanallah.


Hari ini hanya ada rin emak dan ayah sepanjang hari di rumah. Ini kerana Semua yang lain berlibur ke Singapura. Bersuka ria di Sentosa Island. Rin ambil keputusan untuk tidak turut sama ke sana. Hanya disebabkan oleh kekosongan hati. Hati pasti tidak tertahan bila ke sana tanpa Arwah Abang. Tak siapa pun yang dapat mengerti hati rin. Sungguh, tak siapa yang mengerti.


Rin lebih rela menyendiri dari kesana untuk bersuka-ria. Sekarang ni, hati rin dah tidak boleh untuk menerima waktu dan keadaan yang sebegitu. Seperti berseronok dan bergembira. Semua itu bukan membuat rin senang tetapi semakin resah dan tidak tenang. Hanya dengan melakukan rutin seharian yang boleh membuat rin lupa akan kenangan yang membelenggu. Jika ke singapura, hati pasti sebak.. kerana kebiasaannya, rin tau rin dekat dengan abang. dan kami pasti akan berjumpa walau sekejap cuma. Tapi kini, bila kesana pastinya tanpa abang dan tanpa khabar abang. tiada apa yang rin dapat setelah pulang dari sana, hanya kekalutan hati yang hanya Allah yang dapat mengerti.


Abang Razak,

Kini rin melangkah sendiri melalui hari demi hari.

Kini rin berbicara sendiri tentang cinta dan rindu dihati.

Kini rin tersenyum sendiri mengimbas detik cinta kita yang kekal abadi.

Kini dan selamanya rin sedia setia walau tanpa abang di sisi.



Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.

13 October 2007

Selamat tinggal Ramadhan

1 Syawal 1428, Bersamaan 13 Oktober 2007.

Disepanjang Ramadhan, bulan keberkatan.. rin tak lahirkan walau sedikit coretan di peti rahsia hati ini.. Bukan tidak berkesempatan atau tidak punya bicara untuk dicoretkan..

Namun, hati hanya mampu berbisik sendiri. Berbicara tanpa suara. Mendengar yang sunyi. Celik dalam gelap. Lena dalam cahaya. Mencari ketenangan dalam sendu. Menari mengikut irama yang terdengar. Mengorak langkah demi langkah.

Di Bulan Mulia ini, rin dapat mencari sedikit ketenangan. Dikesempatan ini lah rin mencari Kekuatan diri untuk mengharungi perjalanan yang mungkin panjang. Bulan Ramadhan kali ini rin dapat meluangkan banyak masa untuk menjalankan Ibadah yang dituntut. Oleh kerana semua Syaitan dan Iblis di rantai dan dibelenggu.. kita dapat melihat sejauh mana asas keimanan kita yang ada dalam diri. Sepanjang Bulan Puasa juga rin menghidupkan malam yang gelap. Menerangkan siang yang tersedia terang dengan menzikirkan nama Allah sebagai penghidup cahaya Keimanan.

Semua itu rin lakukan hanya kerana ingin mendekatkan diri dengan yang Maha Besar. Terimbas kembali, sambutan rin pada Ramadhan yang lepas begitu suram kerana tiada keterbukaan yang tulus dari hati. Tiada kesederan bahawa peluang dan kesempatan yang kita ada cuma lah sekali dalam setiap saat hidup kita yang tak akan berulang. Kerugian yang rin rasakan lah yang membuat hati rin mencintai apa yang rin lakukan dan kini sudah waktunya untuk dirai. Syukur Alhamdulillah pada Mu Ya, Allah.

Namun, Hari Raya AidilFitri kali ini tidak lengkap seperti sebelumnya. Tidak lagi bersama dengan tunang tersayang. Tidak lagi mendengar ucapan Raya darinya.

Dan yang membuatkan rin menyendiri dibilik seorang diri dimalam Raya, hanya lah kerana terimbas kembali saat dan detik yang sama pada tahun-tahun lepas. Lagi pula, seperti yang dirancang, rin dan Arwah Abang Razak sepatutnya telah pun berumah tangga dan Berhari Raya bersama. Namun, kita hanya mampu merancang.. Tuhan yang menentukan. Kerana dia Maha Mengetahui akan sesuatu yang kita tak pernah tahu.

Pendek kata, terlalu banyak perkara yang terjadi sepanjang saat nafas rin terhela di Bulan Ramadhan, Bulan Mulia. Ada yang baik dan ada pula yang buruk. Namun, tidak kira ia baik atau buruk.. Yang penting ia menjadi asam garam hidup diBumi Allah ini. Hanya berserah kepada-Nya dan Memohon pertolongan atas segala kesulitan. Tetapi tidak terlintas untuk rin mencoretkan segalanya disini. Biarlah Cerita Hidup insan kerdil ini tersemat dihati. Hanya dapat berdoa, agar Allah meningkatkan tahap Keimanan diri serta dipilih menjadi HambaNya yang soleh, Beriman dan Bertaqwa. Amin.
Ini Kerana Allah lah yang menggerakkan hari kita. Oleh kerana itulah kita perlu berdoa agar Allah memelihara Hati kita agar sentiasa kekal dalam Iman dan Taqwa. InsyaAllah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Raikanlah Hari Kemenangan ini dengan penuh Kesyukuran. Panjatkanlah Syukur yang tak terhingga agar hati diulit Bahagia.


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.

10 September 2007

Ramadhan Datang Lagi

Terasa baru seketika meninggalkan Syawal. Seperti sekelip mata kini, Ramadhan kembali.
Masih segar dalam ingatan, berkunjung ke rumah Abang menyambut syawal. Gembira orang tersayang disisi. Namun, kini dia pergi tak kembali.

Semalam, rin ke pusara Arwah Abang Razak. Bertemankan emak, dan kakak Sekeluarga. Ahad, 9 September 2007. Hati tak keruan selagi tidak menziarahi abang. Terasa jauh kita dipisahkan. Bukan lagi jarak waktu, tetapi jarak dua alam yang tak mungkin dapat disingkap. Mengikut janji yang terpatri, September lah bulan terakhir pilihan untuk kita mendirikan mahligai bahagia bersama. September juga lah waktunya kita bersiap sedia melayari bahtera Rumah Tangga, berpuasa dan berhari raya bersama. Namun, Allah tidak mengizinkan semua yang dirancang. Allah ada agenda yang tak siapa pun yang tahu. Kerana hanya Allah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.

Tepat jam 5 petang, destinasi yang dituju semakin hampir. Entah mengapa jiwa menjadi mendung walau mentari memancarkan teriknya. Pastinya, Kaki pantas melangkah penuh harap agar Rindu tidak terpendam lagi. Sesungguhnya Jauh dalam sudut hati, ingin menjejaki kemana perginya sang kekasih. Walau hakikat dan realitinya, diri ini menyedari Sidia telah pun kekal bersemadi.

Setiba di gerbang pusara, mata mula merenung. Merenung dan terus merenung, bukan laluan sempit yang lurus tetapi masa dan ketika yang semakin jauh berlalu. Terfikir betapa lamanya masa yang kita jejaki untuk kita dipertemukan dibumi Allah ini. Namun setelah bertemu yang dicari dan yang diidamkan, betapa singkat pula perkenalan yang sedia erat, terlerai. Begitu mudah ia pergi. Hanya dengan sekelip mata. Sesungguhnya, Allah Maha Besar. Hanya Dia yang Mengetahui Segala Sesuatu.

Semakin hampir ke pusara yang dicari, semakin degup dada mengganggu fikiran. Bila kaki menjejaki bumi, Jejaki juga hati ini pada kasih yang hilang pergi.
Setapak rin melangkah pergi terasa seperti setapak rin mencari abang. Ingin mengungkap sayang. Ingin meluah rasa. 'Peritnya sendiri tanpa abang disisi.'

Salam diberi untuk abang yang mungkin mendengari. Tanpa berlengah doa dan bacaan ayat suci rin kirimkan. Mencuba manahan air mata. mencuba meredhainya. Mengikhlaskan yang telah pun tersurat. Syukur, Allah perkenankan doa rin untuk tidak merintih realiti yang ditempuhi.

Diakhir kiriman pahala bacaan ayat suci Yasin dan surah Al- Fatihah, hati ini berbisik sesuatu. Seperti biasa, pastinya ingin abang tahu, doa rin senantiasa mengiringi pemergian abang. Selagi masih ada kudrat, Abang lah yang selalu dalam ingatan dan doa rin. Hati memberitahu, Abanglah yang kekal dalam hati rin. 'Abang, rin akan sentiasa doakan abang. Agar abang ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Moga abang ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan tertaqwa. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa abang dan dicucuri rahmat oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun segala dosa.'

Seperti diakhir pertemuan kita sebelum ini, pastinya rin akan mengucap kasih dan sayang. Namun, tidak lagi kini. Hanya doa yang tidak lekang dari bibir dan hati rin. Selesai melayan hati, Rin kutip dedaun dan bebunga layu. Rin taburi melur yang mewangi sambil berselawat keatas Nabi dan pastinya rin sirami air membasahi pusara abang yang abadi. 'Semoga abang tenang disana. Semoga abang diampuni Allah. Pastinya Doa rin mengiringi waktu dan detik hidup rin hingga sampai pula waktu rin kembali dijemput Allah.'

Emak dan kakak dah pun berlalu pergi. Diri ini masih tegak berdiri disisi pusara kekasih hati. Kaki seolah tak ingin untuk melangkah pergi. Terimbas kembali seperti pertemuan terakhir kita berdua. Hati begitu sukar untuk melepas pergi. Seolah ingin didakapi. Perasaan yang sama turut rin rasai kini. Hati berbisik lagi, 'Entah bila akan kembali lagi kesini.'

Ku sentuh lembut nisan putih, sayu. Ku sentuh pula Nama mu, pilu. Berat sungguh tubuh ini untuk ku bawa pergi. Namun, dengan gagahnya aku berdiri melangkah pergi. Tanpa menoleh lagi..............


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.

02 September 2007

Azimat Cintaku Hanya Tinggal Kenangan


Azimat Cinta

Cahaya cinta menyinar
Berkilauanlah selautan kasih Bercahaya
Bagaikan butiran permata
Seolah-olah terapung Dipermukaannya
Daku menjejaki pantai rindu
Mengutip kasih yang terdampar
Kau merantaikannya satu demi satu
Dengan kasih sayang mu
Kini menjadi kalungan azimat cintaku
Walau tidak dibasahi hujan
Namun tempiasnya menyegarkan
Biarpun rembulan tidak di ribaan
Namun cahayanya cukup menerangi bayangan
Harumlah cinta dijiwa
Sewangi kasturi syurgawi
Semoga bahagia jadi milik kita
Nan abadi selama-lamanya
Daku menjejaki pantai rindu
Menyaksikan rintihan berlalu
Ombak resah yang menghempas diri
Hanyutkanlah kedukaan
Bawalah jauh daripada bayangan
Andai sinar mentari
Terlindung di balik redupan awanan
Yang berlabuh
Singkaplah tirai kasihmu
Agar bisa ia menyinarkan cahayanya
Untuk kita berdua


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

01 September 2007

Teman Ke Syurga

Lama sungguh aku terhenti coretkan sesuatu di laman hati ini.. Terlalu banyak yang berlaku.. Antaranya aku diuji Allah dengan hadirkan demam ke tubuh ku yang dah semakin kurus ni.. Namun, aku tetap redha.. Allah sayang akan hambanya dengan memberi uijian yang pastinya setimpal dengan kemampuan kita untuk menanggungnya.

Semakin hari kini semakin sunyi aku menyusuri laluan hidup. Sendiri merentasi onak dan duri.. Terasa rindu untuk waktu-waktu yang berlalu bersama Abang Razak. Sukar sungguh untuk kita berpegang pada janji hati ini untuk tidak menoleh ke belakang. Perit hati ini menanggung rindu yang bertandang.. Sesekali aku akan merasa sidia dekat... Sesekali aku merasa sidia semakin jauh. Satu ketika dulu aku sering terpikir bahawa aku tidak boleh hidup tanpa Abang Razak. Aku teramat menyayanginya sepenuh hati.. Setiap kali berselisih pendapat pastinya kami tak akan sanggup melaluinya hanya kerana hati masing-masing menyintai sedalamnya diri masing-masing... tak sanggup untuk bertengkar dan berkecil hati... kerana kami dapat rasa peritnya setiap saat itu tanpa kasih sayang.. Abang Razak lah yang paling kesali setiap persilisihan faham yang berlaku.. Pastinya dia dengan segera ambil tindakan segera untuk selesaikan kekusutan hubungan kami. Kami sering mohon maaf akan setiap kesalahan dan kesilapan yang terpalit dalam hubungan kami.

Abang, Sungguh Rin sayang Abang.. Sungguh Rin rindu Abang.

Hari ini, sekali lagi emak dengan rajuknya. Pagi-pagi lagi aku tak ditegurnya.. Bila ditanya, tiada jawapan. Bila diajak berbual.. dimarahi. Bila dibuatnya baik... dikata tidak perlu. Sebenarnya, ini adalah satu keadaan yang biasa aku lalui sejak sekolah lagi. Namun, sehingga sekarang masih tetap berlarutan.. Ape puncanya... aku sendiri kurang pasti.. Hanya Allah yang tahu akan perasaan ku ini.

Sejak hadirnya Abang, Rin rasa hilang beban perasaan kerana adanya tempat mengadu. Segala yang aku lalui aku curahkan pada kekasih hati ku yang pastinya setia mendengar dan menjadi pengubat duka. Namun, setelah pemergiannya, beban perasaan itu muncul kembali kerana hilangnya tempat meluah perasaan yang terbuku... Hilangnya pengubat duka. Ya Allah, sungguh aku rindukan saat dan ketika itu. Di mana, hati berbunga segar.. hati riang seperti digeletek kupu-kupu berterbangan. Hati bersinar sehingga terpancar ke wajah akan keriangan hati.

Ya Allah, Itu lah saat bahagia hidupku.. Aku bersyukur ke Hadrat Mu Illahi akan kurniaan yang Engkau beri walau cuma untuk seketika.. Aku Redha.. Aku Pasrah.. Sunyi aku kini dari suaranya.. Namun, Pohon ku Pada Mu Ya Allah, agar tidak sunyi aku dari Rahmat Mu.

Semoga aku terus tegar untuk meneruskan perjalanan panjang ini.. Semoga aku kekal dijalan Mu Ya Allah. Sesungguhnya janganlah Engkau bolak balik kan hati ku setelah Engkau memberi Hidayah kapadaku... Berilah aku petunjuk akan setiap yang berlaku. Pimpinlah aku sehingga akhirnya aku tiba di Perkampungan Syurga Mu yang Abadi selamanya.. Dengarkanlah aku Ya Allah.. Perkenankanlah..

Hari ni jugak entah kenapa aku buka mulut untuk bertanya mak dengan ayah tentang Arwah Abang.

"Ada tak mak ngan ayah rindukan Arwah tunang Rin.. Teringat dia ke.. Terbayang dia ke..?" Soal aku dengan sebak dihati.. Itulah kelemahan aku yang satu, tak boleh sebut tentang dia pada orang lain.. Pastinya, sebak seluruh jiwa..

"Ada jugak mak teringat kan dia, selalunya mak akan ingat dia nak tumpang solat.. " jawab mak ikhlas... "ayah, selalu ingatkan dia.. selalu sangat.. bila duduk-duduk teringat.. Bila-bila duduk terbayang dia.. dengan terfikir.. Ada hikmah yang kita tak tau kenapa dia pergi, Yang Hanya Allah yang Tahu dan yang berlaku mesti yang terbaik buat kita... Orang yang kita sayang tapi Allah ambil.. Itulah yang terbaik untuk kita.. InsyaAllah.... Ayah selalu teringat die duduk dekat kerusi depan tu.. dengan dekat sofa ni... Bila terpandang ayah mesti ingat.. Senyum dia.. gaya dia.." jawab ayah juga ikhlas......

Aku dengar dengan sebak yang terpaksa ditahan... kedua Ibu bapa aku juga turut rindu kan dia... Sesungguhnya, kami rapat.. Tak sangka Pertemuan ini hanya untuk seketika.. Ayah turut tak percaya pertemuan sementara ini.. Disaat semuanya berjalan lancar.. Allah datangkan ujian besar ini untuk hambaNya..

Sungguh, Rin rindu abang.. Tak sanggup menahannya.. Hanya Doa dapat rin kirimkan untuk abang tanda Cinta dan Sayang Rin buat abang.. Semoga Allah menyampaikannya. Semoga Rindu Rin terubat dengan hadirnya Abang satu hari nanti dalam Mimpi Rin yang sehingga kini menantikan hadirnya Abang dengan senyuman menandakan ketenangan Roh Abang di Alam yang kekal abadi... InsyaAllah...

Kini, mak lah kekal dihati rin.. Mak segalanya.. Baru kini Rin sedar Mak tetap yang pertama dalam hidup rin yang dapat mengubat hati Rin yang sering luka dan berdarah.. Dan Rin juga berharap, diakhir cerita hidup ini, Rin lah yang menjadi teman mak dan ayah ke Syurga.. Bersama-sama adik beradik bertemu di penghidupan yang kekal Abadi.

Dia yang aku sanjungi, Kamisah Su'eb..

Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

12 August 2007

Rencana hidup

Hidup tak selalunya indah, kadangkala sesuatu yang tak kita duga, tak kita sangka sering hadir..
Dalam setiap harian kita, pastinya banyak terjadinya rencana.. rencana kehidupan.... ada rencana yang direncanakan oleh kita dan ada juga rencana Allah yang ditakdirkan khusus untuk hambaNya..

Selama aku sunyi tanpa teman hati, aku banyak mengolah setiap perkara yang berlaku dengan hasil fikiranku sendiri tanpa pengkritik dan tanpa pendengar.. Hanya Allah yang mengetahui segala yang bersarang di benak fikiran ku.. Kerana Dia Maha Pendengar, Maha Mengetahui.. semuanya aku legarkannya di kotak fikiran yang Allah anugerahkan ini.. Sehingga cara Si Ibu menyuapkan makanan ke mulut sianak pun menjadi bahan dan topik fikiran dan hati kecil ku.. termasuklah, cara kehidupan yang berbeza antara sesebuah institusi keluarga dengan yang lainnya... ada juga topik yang tak dapat aku fahami hingga menemui jalan buntu, seperti soal jodoh yang sungguh membingungkan.. mungkin kerana tak tercapai akal seseorang itu mendapatkan jawapan atas segala persoalan mengenai perkara sulit.. Yang hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha MengetahuiNya.

Jodoh, adalah diatas Kuasa Allah S.W.T. , dia yang menentukan pertemuan dan perpisahan.. namun, dari beberapa sudut yang agak rumit untuk difahami, ada diantara mereka yang mendapat peluang dan kesempatan untuk bersatu, berkasih sayang, dan membina mahligai Bahagia tetapi tidak disyukuri dan terima dengan redha hati.. Telah pun diberi Allah jodoh dalam menggapai bahagia, diberi Allah untuknya zuriat yang comel, sihat dan bijak..namun, disia-siakan.. mengambil jalan singkat untuk berpisah hanya kerana tuntutan hidup yang mendesak, mengikut hawa nafsu serakus.. ingin bermewah-mewah.. tidak sanggup bersusah susah.. dan mementingkan diri sendiri....

Ada juga diantaranya, diberi kesempatan oleh Allah mendapat jodoh yang baik, sidia yang cantik, berperwatakkan sempurna malah bijak dan berpelajaran.. namun, masih mencari yang lain demi kepuasan diri yang tiada akhirnya.....

Namun yang paling sukar untuk difahami malah sungguh menyentuh hati.. Ada juga yang telah menemui Sidia yang terbaik.. terhebat.. tersayang.. tercinta.........sehati dan sejiwa. Namun, tidak diizinkan Allah untuk bersatu..... Diambil pasangannya itu kembali kehadratNya, dijemputnya salah seorang darinya itu kembali kepadaNya.. dipisahkan dua hambaNya yang Ikhlas berkasihan itu dengan dua alam yang berbeza..... tinggallah si pengemis Cinta sendirian hanyut dalam buaian mimpi yang dipasangnya bersama sidia yang talah pergi dan tak akan kembali....... seorang diri melayari hari yang mungkin juga tak panjang dibumiNya ini..
Semuanya itu adalah atas sebab yang tak akan ada seorang manusia pun yang dapat mengetahuinya... tak akan ada seorang pun yang dapat menyelongkar Rahsia Illahi.. Tak ada yang perlu dikesali... Hanya mampu berserah dan meredhai Kasih yang pergi.....

Itu lah yang dimaksudkan dengan rencana hidup... hidup di dunia.. dunia yang untuk melaluinya sahaja kita tak tegar.. sering goyah... sedang dunia adalah tidak berguna..
Apakan lagi untuk melalui Hari pembalasan.. sesungguhnya, Allah yang Menguasainya...

Namun yang pasti apa jua topik yang melintasi hati dan fikiran, hati ini tetap berbalik pada Yang Maha Esa.. Diri tetap bersujud padaNya.. memohon petunjuk dan jalan yang diredhai..

Beberapa hari ni, aku tak berkesempatan untuk melakar blog Cerita Deritaku, Rindu...
Banyak sungguh bahan untuk dicoretkan di peti hatiku ini. Ini lah dia dinamakan Tuntutan hidup insan kerdil dalam kehidupan yang tak panjang.. hati tak tertahan.. Namun, tetap dipertahankan.. sehingga tiada seorang pun yang mengetahui, air mata rindu mula kering.. hati sering menangis...

Menangis tika sujudku.. merintih tika kedua tapak tangan ditadah menghadap Allah yang Maha Besar..... Takut dengan azabNya, takut dengan tuntutanNya di hari pembalasan.. di hari kita diperhitungkan untuk layakkah kita ke SyurgaNya..... atau sebaliknya... tidak sanggup untuk ke Neraka Mu Ya Allah... Ampuni Dosa-dosaku.. Terima lah Taubatku..


Dalam mencari keredhaanNya, hati sering menyebut Nama Allah, Yang Maha Mulia..
Dalam Mencapai Ketaqwaan, hati sering beristighfar menanam didalam hati Kebesaran Allah, Tuhan semesta alam..

Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

06 August 2007

Dua Tahun kini

6 ogos 2005.. Hari abang luahkan isi hati abang.. untuk jadikan rin teman hidup abang.. Abang berjanji untuk setia bersama rin selama-lamanya.... Terlalu banyak sumpah setia kita demi cinta dan sayang kita. Bahagia rin dicintai dan disayangi.. bahagia rin abang berada disisi.. Sayangnya diwaktu itu, kita tidak sedar.. Masa yang kita ada hanyalah seketika..

Hari ini, genap 2 tahun waktu itu berlalu.. rin bakal melaluinya dengan sayu dihati. Tak tertahan berdiri sendiri tanpa abang disisi. Tak sanggup untuk menyusuri laluan kita yang selama ini diiringi senyum riang tanpa henti.. Abang, rin sayang abang sangat-sangat.. Rin rindu abang.. Pastinya sukar untuk rin lupakan kata-kata itu..
Hari ini, rin cuti untuk ziarahi pusara abang.. kali ini sendiri lagi.. rin sedar ini adalah satu kesalahan.. namun, hati tak dapat memungkiri.. kaki terus melangkah pergi.. menziarahi abang yang telah bersemadi..
Teringat rin pada janji setia kita.. tak dapat rin mungkirinya... Rin rindu abang sangat.. Rin rindu suara abang.. renungan mata abang yang bersinar.. hanya rin yang tau semua tu.. renungan mata abang istimewa... rin tau abang sayang rin sangat.. Biar berapa tahun lagi rin hidup dibumi Allah ini, pastinya rin tak akan lupa cinta dan kasih sayang kita berdua.. Cinta ini akan kekal hingga akhir hayat rin.. InsyaAllah.. semoga Allah mengampuni kita..
Sebentar lagi rin akan ke singapura. selepas ke pusara, dengan berbekalkan hati yang tabah, cekal dan tekad, rin akan melangkah kaki ke dunia cinta kita.. Dengan berteman kan kak awe, rin akan gagahkan diri untuk kesana.. rindu rin pada tempat-tempat kenangan kita.. Rindu rin pada Masa kita bersama... menyaksikan indahnya keindahan alam ciptaan Allah.. Nyamannya suasana..
Abang, pastinya Doa Rin tak akan lekang dari bibir ini memohon ampunan Allah untuk orang teramat rin cintai.. Semakin hari hati semakin dalam menghargai pertemuan dan perpisahan kita.. Semoga Allah memberkhati umur abang sepanjang hayat abang di bumi Allah ini.. Semoga dikalangan orang-orang beriman dan bertaqwa abang ditempatkan.. InsyaAllah.


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

02 August 2007

Terpatri setiaku...

29 November 2006, Terikatnya janji setia Rindu & Razak

Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

01 August 2007

Mimpi Semalam

Hari ni, rin bangun dari lena dalam kebingungan.. masuk hari ni 3 hari turut-turut rin mimpikan abang.. mungkin rindu yang terpendam hanya terluah dalam mimpi yang kelam... Mungkinkah abang disana rindukan rin...?... tapi mungkinkah semua itu.... Entah la.. walau rin dan abang dipisahkan oleh dua tempat yang berbeza.. Cinta yang selama ini segar, pastinya terus mekar walau tanpa abang disisi.. Teringat rin akan puisi yang begitu Indah hasil nukilan abang buat rin..

Mekar Segar Tanpa Sepi

Jauh di seberang
Ku intai Rindu di balik sepi
Setulus hati berpalun kasih
Selat dan samudera
Sejengkal saja jauhnya
Rela Ku rentas menyambut kasihnya

Di depan Ku tandus debunga indah
Seringnya mekar untuk seketika
Lalu longlai di bawah cahaya
Adanya juga yang megah mempersona
Malangnya ianya sulaman semata.

Rindu Ku kini bertaut tak bertali
Diiringi senyuman bermadu asli
Ingin Ku menemani Rindu Ku sepenuh hati
Agar sentiasa segar tanpa sepi.

ARAH
14/08/05

Abang, rindu sungguh rin untuk mendengar suara abang.. rindu sungguh rin untuk mendengar luahan hati abang yang Indah... rindu sungguh rin untuk mendengar gelak tawa abang... rindu sungguh rin untuk semua itu..


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.

31 July 2007

Tangisku

Tangis ku tiada hentinya. Setiap saat hanya kau yang ku rindu. Hari ni rin menangis lagi..

Semalam rin mimpi abang... Entah yang keberapa kalinya. Dah lama rin tak mimpi abang, tapi kali ni jelas wajah dan susuk tubuh abang.. Berbunga riang hati rin, rin dapat rasakan hingga kini, abang kembali kesisi.. masih terbayang jelas, Rin tak lepaskan abang.. Rin tak sanggup berpisah lagi.. Rin tak sanggup jauh dari abang.. Rin tak sanggup... tak sanggup.. Perasaan dalam mimpi tu dapat rin rasakannya hingga ke saat ini.

Rin bertanyakan abang..."Rin bukan mimpi kan abang?"... soalan tanpa jawapan.. abang senyum melihatkan rin.. hari ni sepanjang hari rin menangis, mengingatkan mimpi yang tak panjang.. yang rupanya hanya mimpi...


"...Malam ini aku sendiri
Tanpa dirimu memeluk aku kasih

Kau dimana ku ingin bertemu
Ungkapkan semua rasa rindu
Haruskah aku berlari
Haruskah aku menangis lagi

Ku tak sanggup bila aku jauh dari dirimu
Ku tak sanggup bila aku jauh dari kasihmu

Hanya Tuhan yang tahu segalanya
Rasa rindu yang aku punya
Padaku Hanya diri mu…. "


....nyanyian Kris Dayanti.. Pertama kali dengar lagu ni selepas ketiadaan abang, sewaktu meeting dengan Ibu dekat Teh tarik Restaurant, Singapore. Rin menangis sebak. Hanya Allah yang tahu hati dan perasaan rin waktu tu.. kerna mengerti tentang... Sendiri melayari perjalan hidup yang mungkin panjang.. Sendiri meneruskan Cinta yang terhilang..


Abang, rin sayang abang.. rin rindu abang.. hanya Allah yang tahu..


Ya Allah, Ya Tuhan.. Tunjukkan aku jalan Mu..

29 July 2007

Tempat Mengadu

Dalam kehidupan kita perlu meluah segala sesuatu. Kerana sebagai seorang manusia kita mempunyai hati dan perasaan. Setiap yang berlaku, dengan sendirinya pasti hati dan perasaan yang pertama sekali mamainkan peranan.

Oleh itu, tak semuanya mampu disimpan kemas dalam sudut hati. Jadi inilah yang cuba untuk aku lakukan. Meluahkan yang tersimpan tanpa mengharap seseorang untuk menjadi pendengar setia. Oleh kerana Pendengar setia aku kini tak lagi disisi, jadi hanya Allah yang bertakhta dihati. InsyaAllah. Kerana DIA Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hanya kepadaNya. Dengan Menyebut NamaNYa hati ini menjadi tenang, dengan memanggilNya Jiwa ini menjadi lapang. Semoga Allah mendengarkan doa ku dan mengabbulkannya.


Ya Allah, Ya Tuhan.. Tunjukkan aku jalan Mu.

28 July 2007

Agungnya Cinta sehingga tak terungkap kata. Mulianya Kasih sehingga tak terluah rasa.

Abang, Pergimu.. Hijrahku. Jelaslah kini hidup rin merupakan satu penantian, penantian yang tak pasti. Penantian yang panjang, pastinya hanya Allah yang tahu. Hanya Allah yang rin miliki kini. Untuk merayu, meratap, mengadu, memohon segala sesuatu..

Abang, 5 bulan rin sendiri melayari hidup dibumi Tuhan. 5 bulan rin termangu sepi tanpa abang disisi. 5 bulan juga rin menahan rindu dihati, sedang tiada siapa yang dapat menyelami.

5 bulan juga bibir ini tidak berhenti mendoakan abang pergi dalam Iman. Menyakinkan diri abang pergi menghadap Illahi sebagai HambaNya yang bertaqwa, beriman dan menjadi muslim sejati. Rin sentiasa memohon agar abang ditempatkan ditempat orang –orang yang mulia disisiNya, disyurgaNya.

Abang, 5 bulan kini rin dicelikkan hati Oleh Allah S.W.T yang Maha Mengasihi. Jelas di mata, hidup ini hanya sementara. Jelas di hati, ajal datang menjemput pergi. Jelas kini bahagia datang dan pergi sesuka hati. Bukan menyesali segala yang terjadi, tetapi mengungkapinya sebangai satu realiti.

Abang, pergi mu hijrah ku. Rin kini kembali kepada ‘Rindu’ yang dulu… ‘Rindu’ yang sepi tidak berteman. ‘Rindu’ yang pastinya penuh dengan penantian. Hari-harian rin yang abang isi kekosongannya dengan bunga-bunga mekar satu ketika dulu, kini hanya tinggal debu-debunya. Hari-harian rin yang berwarna-warni yang abang lakar dalam hati rin satu masa itu, kini hanya tinggal kegelapan malam yang rin selimutkan dengan doa dan ampunan. Setiap malam rin kini tidak lagi dibisik dengan suara yang meruntum kalbu, yang bertanyakan itu dan ini, yang mengungkap kata cinta dan sayang dan tidak lagi bergelak ketawa bersama. Sebaliknya, malam rin 5 bulan kini dibisik dengan angin malam, malah airmata yang tanpa henti bersama-sama mengiringi embun pagi membasahi bumi.

Abang, pergi mu hijrah ku. Hati ini tetap untuk mu. Walau jauh perjalanan hidup ku. Hanya abang yang satu. Sungguh, aku Rindu padamu.

Ya Allah, aku mohon Ampunan Mu. Aku mohon Keredhaan Mu. Aku mohon Keberkatan Mu. Terimalah taubatku.

Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku jalan Mu.