14 October 2008

Antara Realiti dan Mimpi


Bismillah..

Assalamu’alaikum..

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah s.w.t. Yang Maha Besar Lagi Maha berkuasa.. Yang memberi kudrat, memberi izin untuk saya menggerakkan jari jemari ini memetik huruf-huruf bagi membariskannya, mencantumkannya, melakarnya menjadi ayat yang terungkap di cerita-rindu ini.

Jarum Jam menunjukkan hari semakin hampir ke pagi subuh pemula hari. Nyaman dan tenang membuatkan saya tidak teragak-agak mencapai buku lipatan cyber ini bagi mencoret semua cerita yang terlepas saya ungkapkan disini.

Sebentar tadi, tepat jam 2.30 pagi saya terjaga dari mimpi yang amat menakutkan saya dan kini menggangu fikiran saya. Mimpi itu membuatkan saya terjaga dan beristighfar, memohon Keampunan Allah dan berdoa agar segala yang terjadi dalam mimpi bukanlah realiti yang harus saya tempuhi. Saya menarik nafas panjang, bangun menyelak langsir dan melihat keluar tingkap. Hujan. Gelap. Dingin jelas terasa. Lalu saya menarik rapat daun tingkap yang terbuka luas. Hati berdebar. Mimpi apakah ini? Adakah ia akan berulang? Adakah saya tidak layak mencintai dan dicintai? Adakah saya masih hidup dalam bayang-bayang kegelapan? Mungkinkah mimpi ini satu petanda dan peringatan? Semua persoalan tiada jawapan kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kerana yang pasti Allah s.w.t punya agenda untuk setiap hamba-Nya yang sentiasa menjadi rahsia-Nya. Sebagai Hamba yang lemah saya hanya dapat berdoa dan bertawakal. Membuat Penyerahan hati hanya untuk-Nya Yang Maha Adil.

Saya bangkit semula dari cubaan melelapkan mata. Saya capai telefon melihat kalau-kalau ada pesanan yang belum dibaca. Tiada. Hati semakin gundah. Kenapa saya mimpi dia? Disebabkan saya jarang mendapat mimpi, saya percaya.. ada sesuatu yang patut saya fikir dan renungi. Sebagai hamba Allah yang lemah saya sering khilaf. Hari demi hari pasti ada hitungan kesalahan dan kesilapan yang saya ulangi. Namun, dengan daya kekuatan yang ada saya memanjat Doa agar diberi keampunan dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Ya Allah, terangkanlah hati ini dengan cahaya Nur Illahi-Mu. Terangilah.. Terangilah…
Sesungguhnya Ya Allah Ya Tuhan ku, aku mohon terangilah seluruh perjalanan hidup ku dangan cahaya Nur Illahi Mu.

Perjalanan hari-harian saya akan saya lalui dengan penuh kesyukuran, ketabahan, kebijaksanaan & kewarasan. Semoga Allah sentiasa disisi memberi petunjuk jalan yang benar dan jalan yang harus dipilih. InsyaAllah.

Ya Allah, Ya Tuhanku.. titipkanlah hamba-Mu ini seorang teman hidup dan pemimpin yang sempurna. Dia yang patuh kepada ajaran-Mu, seorang Islam sejati yang mencintai-Mu dan Nabi Muhammad s.a.w. Amin Ya Robbal Alamin.


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.