10 September 2007

Ramadhan Datang Lagi

Terasa baru seketika meninggalkan Syawal. Seperti sekelip mata kini, Ramadhan kembali.
Masih segar dalam ingatan, berkunjung ke rumah Abang menyambut syawal. Gembira orang tersayang disisi. Namun, kini dia pergi tak kembali.

Semalam, rin ke pusara Arwah Abang Razak. Bertemankan emak, dan kakak Sekeluarga. Ahad, 9 September 2007. Hati tak keruan selagi tidak menziarahi abang. Terasa jauh kita dipisahkan. Bukan lagi jarak waktu, tetapi jarak dua alam yang tak mungkin dapat disingkap. Mengikut janji yang terpatri, September lah bulan terakhir pilihan untuk kita mendirikan mahligai bahagia bersama. September juga lah waktunya kita bersiap sedia melayari bahtera Rumah Tangga, berpuasa dan berhari raya bersama. Namun, Allah tidak mengizinkan semua yang dirancang. Allah ada agenda yang tak siapa pun yang tahu. Kerana hanya Allah yang Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.

Tepat jam 5 petang, destinasi yang dituju semakin hampir. Entah mengapa jiwa menjadi mendung walau mentari memancarkan teriknya. Pastinya, Kaki pantas melangkah penuh harap agar Rindu tidak terpendam lagi. Sesungguhnya Jauh dalam sudut hati, ingin menjejaki kemana perginya sang kekasih. Walau hakikat dan realitinya, diri ini menyedari Sidia telah pun kekal bersemadi.

Setiba di gerbang pusara, mata mula merenung. Merenung dan terus merenung, bukan laluan sempit yang lurus tetapi masa dan ketika yang semakin jauh berlalu. Terfikir betapa lamanya masa yang kita jejaki untuk kita dipertemukan dibumi Allah ini. Namun setelah bertemu yang dicari dan yang diidamkan, betapa singkat pula perkenalan yang sedia erat, terlerai. Begitu mudah ia pergi. Hanya dengan sekelip mata. Sesungguhnya, Allah Maha Besar. Hanya Dia yang Mengetahui Segala Sesuatu.

Semakin hampir ke pusara yang dicari, semakin degup dada mengganggu fikiran. Bila kaki menjejaki bumi, Jejaki juga hati ini pada kasih yang hilang pergi.
Setapak rin melangkah pergi terasa seperti setapak rin mencari abang. Ingin mengungkap sayang. Ingin meluah rasa. 'Peritnya sendiri tanpa abang disisi.'

Salam diberi untuk abang yang mungkin mendengari. Tanpa berlengah doa dan bacaan ayat suci rin kirimkan. Mencuba manahan air mata. mencuba meredhainya. Mengikhlaskan yang telah pun tersurat. Syukur, Allah perkenankan doa rin untuk tidak merintih realiti yang ditempuhi.

Diakhir kiriman pahala bacaan ayat suci Yasin dan surah Al- Fatihah, hati ini berbisik sesuatu. Seperti biasa, pastinya ingin abang tahu, doa rin senantiasa mengiringi pemergian abang. Selagi masih ada kudrat, Abang lah yang selalu dalam ingatan dan doa rin. Hati memberitahu, Abanglah yang kekal dalam hati rin. 'Abang, rin akan sentiasa doakan abang. Agar abang ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Moga abang ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan tertaqwa. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa abang dan dicucuri rahmat oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun segala dosa.'

Seperti diakhir pertemuan kita sebelum ini, pastinya rin akan mengucap kasih dan sayang. Namun, tidak lagi kini. Hanya doa yang tidak lekang dari bibir dan hati rin. Selesai melayan hati, Rin kutip dedaun dan bebunga layu. Rin taburi melur yang mewangi sambil berselawat keatas Nabi dan pastinya rin sirami air membasahi pusara abang yang abadi. 'Semoga abang tenang disana. Semoga abang diampuni Allah. Pastinya Doa rin mengiringi waktu dan detik hidup rin hingga sampai pula waktu rin kembali dijemput Allah.'

Emak dan kakak dah pun berlalu pergi. Diri ini masih tegak berdiri disisi pusara kekasih hati. Kaki seolah tak ingin untuk melangkah pergi. Terimbas kembali seperti pertemuan terakhir kita berdua. Hati begitu sukar untuk melepas pergi. Seolah ingin didakapi. Perasaan yang sama turut rin rasai kini. Hati berbisik lagi, 'Entah bila akan kembali lagi kesini.'

Ku sentuh lembut nisan putih, sayu. Ku sentuh pula Nama mu, pilu. Berat sungguh tubuh ini untuk ku bawa pergi. Namun, dengan gagahnya aku berdiri melangkah pergi. Tanpa menoleh lagi..............


Ya Allah, Ya Tuhan... Tunjukkan aku Jalan Mu.

0 comments: